Mountain View

SM Sains Gua Musang dibuka

GUA MUSANG - Bangunan Sekolah Menengah (SM) Sains Gua Musang di Jalan Kuala Lipis, yang bernilai RM41.7 juta siap sepenuhnya dan pengambilan pelajar sulung dilakukan mulai 1 April lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang, berkata, walaupun pengambilan pelajar sulung itu hanya 63 orang untuk tingkatan satu, ia akan ditingkatkan bilangannya dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, sekolah itu adalah yang tercantik dan tercanggih di negeri ini kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sesuai dengan kecemerlangan pelajar sebelum melangkah ke tingkatan satu.

“Kita nampak sekolah menengah sains itu bakal memberi kemajuan yang lebih pesat kepada pembangunan Hulu Kelantan khususnya dalam bidang pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika melawat dan beramah mesra dengan pelajar baharu di sekolah itu, di sini, semalam.

Hussain berkata, sekolah berkenaan sangat ditunggu-tunggu penduduk daerah ini kerana terletak tidak jauh dari Bandar Baharu yang menjadi sebuah bandar transit kepada semua kenderaan perdagangan.

Sehubungan itu, beliau mahu penduduk tempatan daerah ini memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran anak mereka supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar Hulu Kelantan yang cemerlang.

Katanya, sekolah itu menjadi mercu tanda kemajuan pesat pendidikan di Hulu Kelantan, selain selama ini dibina beberapa sekolah rendah baharu dan menengah yang membabitkan hampir setiap kawasan.

“Kementerian Pelajaran memberi komitmen yang cukup tinggi untuk kemajuan pendidikan di Kelantan termasuk Gua Musang berikutan pertambahan penduduk dan banyak bandar baharu diwujudkan.

“Pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mempunyai harapan cerah untuk ditempatkan di sekolah menengah sains ini. Sebelum ini pelajar cemerlang hanya menumpukan kepada sekolah menengah sains di daerah lain, tetapi sekarang ia dibuka di
daerah ini. Semoga terus menjadi menjadi landasan kejayaan seterusnya,” katanya.
Share on Google Plus

Tentang pkgguamusang

Diterbitkan oleh JTK PKGGM.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment